top of page

Teater Atas Pokok Tonjol Kelainan

SHAH ALAM (Bernama) -- Kebiasaannya, pementasan teater akan diadakan di mana-mana kawasan lapang ataupun ruang pentas yang didirikan di atas tanah, lantai bagi persembahan hiburan secara langsung di hadapan penonton. Tidak kiralah sama ada di tempat penuh berprestij seperti Istana Budaya, bangunan yang mempunyai kemudahan pentas, kawasan terbuka orang ramai di padang, gelanggang badminton, semuanya boleh dijadikan platform bermain sandiwara. Yang penting, lapangan itu stabil dan membolehkan kaki pelakon dapat menjejaki ruang berkenaan bagi menjayakan sesebuah jalan cerita, muzikal, mahupun kesenian secara langsung ini, itu sudah dikira cukup syarat. Tetapi, bagaimana pula kalau dikatakan kini sudah terdapat satu cetusan terbaharu yang tampil memberi kelainan dalam industri seni berkenaan apabila menjadikan sebatang 'pokok' sebagai pentas? Kedengaran agak pelik dan mungkin ada yang berimaginasi akan terdapatnya sebuah pentas kecil yang dibuat di atas pokok berkenaan, walhal ia sebaliknya. Menggunakan seratus peratus ruang udara, Teater Atas Pokok, buat julung kalinya dalam sejarah akan dijayakan di sebatang pokok tanpa melibatkan sebarang penggunaan ruang lantai. Tidak ada tipu helah, seperti namanya 'teater' ia akan dilakonkan secara langsung dan tidak menggunakan apa-apa kaedah teknologi rakaman kamera mahupun sebaliknya, kata pengarah teater itu, Shamsudin Othman kepada Bernama. KEUNIKAN "Ia satu benda baharu, satu wadah seni yang belum lagi pernah diteroka kerana kebetulan saya mendapat inspirasi untuk membuat sesuatu menggunakan pokok. "Saya rasa, ini yang pertama kali dipentaskan mengguna konsep sedemikian kerana tidak pernah melihat ada yang melakukannya. Malah, rakan-rakan yang selalu menonton teater di luar negara pun tidak pernah melihat medium berkenaan," katanya. Dipentaskan pada 16 dan 17 April, 2016, di sebatang pokok berhadapan kedai Kopi 2, Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, pukul 9.00 malam, kata Shamsudin, ini mampu memberi tarikan tersendiri kerana ia dilihat agak istimewa berbanding teater konvensional lain. Ini kerana, teater yang melibatkan lapan pelakon termasuklah muka lama industri seperti Bohari Ibrahim, perlu melakonkan watak masing-masing mahupun berdialog di ruang udara dengan melakukan pelbagai aksi menarik di atas pokok. Antaranya bergantung di dahan-dahan pokok, bergayut dari satu dahan ke dahan lain, menari, berdiri, duduk di atas buaian yang disediakan bagi mencantikkan lagi visual persembahan. "Teater ini berdurasi lebih satu jam dan penggunaan pokok dari awal sehinggalah habis cerita. Memang, aksi dan gerak geri yang cantik amat diutamakan dalam teater ini supaya penonton tidak bosan. "Disebabkan itulah, intonasi suara tidak begitu penting dalam teater ini. Tetapi, visual yang ingin dipersembahkan. Selain itu, pemuzik dan penyanyi pun akan berada di atas pokok, bukannya di bawah," katanya. Ini termasuklah dengan membawa peralatan muzik seperti gitar di atas pokok dan sebanyak empat buah lagu akan dinyanyikan oleh Sani Sudin dan Saidin Omar, ujar Samsudin atau lebih dikenali sebagai Dinsman dalam kalangan rakan-rakannya. INSPIRASI Mendapat inspirasi menggunakan 'pokok' sebagai pentas daripada seniman Christo Vladimirov Javacheff yang gemar menghasilkan kerja-kerja seni persekitaran yang unik, telah memberi ilham kepada Dinsman untuk melakukan sesuatu luar daripada kebiasaan selepas lebih 40 tahun terlibat dalam teater. "Saya meminati Christo sejak 1975. Beliau suka buat benda-benda pelik dan luar biasa seperti bungkus pokok, bungkus bangunan dan sebagainya. Saya tertarik dengan hasil seninya dan inilah yang mendorong saya untuk fikir sesuatu di luar kotak. "Kebetulan, saya pula sangat meminati pokok kerana ia kehidupan yang menarik dan penting dalam kehidupan manusia mahupun haiwan seperti burung. Dari situlah, saya mula terfikir untuk buat sesuatu dengan pokok," katanya. Idea yang terlintas pada 2014 itu, membuatkan Dinsman tertarik untuk menghasilkan sebuah teater yang ada kaitannya dengan dua sajak Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr Usman Awang. Dua sajak itu ialah, Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya dan Surat Dari Masyarakat Burung Kepada Datuk Bandar yang akan diadaptasikan di dalam skrip teater ini. "Puisi ini ada hubungan dengan pokok dan cinta kepada alam sekitar supaya orang tidak tebang dan musnahkan pokok dengan semudah-mudahnya bagi kepentingan semua dan ini yang dipersembahkan," katanya. BUKAN MUDAH Dimulakan dengan persembahan tarian kuda kepang sebagai pembukaan jalan cerita, Teater Anak Pokok mengisahkan perjuangan penduduk kampung di pinggir kota yang cuba mempertahankan kampung warisan mereka daripada musnah oleh pembangunan. Dalam masa sama, ia yang sarat dengan kritikan ini turut bertujuan menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan penjagaan alam untuk generasi akan datang khususnya pokok. Justeru, pemilihan pokok sebagai ruang pentas dilihat sangat signifikan kerana membolehkan penonton menerokai dan menjiwai sendiri akan kepentingan tumbuhan berkayu itu sekali gus menggambarkan kehidupan atas pokok dalam alam realiti. Bagaimanapun, ia bukanlah satu tugas mudah untuk mengarah teater ini. Malah, Dinsman juga mengakui pengarahan karya kali ini agak sukar. Apatah lagi, apabila ia membabitkan penggunaan pokok yang sangat tinggi iaitu kira-kira 12.2 meter (40 kaki). "Untuk cari pokok yang sesuai sahaja, sudah mengambil masa setahun. Kriteria yang dicari adalah pokok itu mesti tinggi dan banyak dahan dan, akhirnya kami telah menemui sebatang pokok Angsana di Taman Tasik Shah Alam yang sesuai untuk dijadikan pentas. "Cabaran seterusnya, adalah mencari pelakon yang boleh memanjat pokok dan kreatif menghasilkan aksi-aksi menarik. Bagaimanapun, dengan ruang yang agak terbatas, ia begitu menguji kreativiti dalam memikirkan gerak geri yang sesuai," katanya. KESELAMATAN Biarpun begitu fokus untuk mempersembahkan jalan cerita yang menarik, Dinsman berkata aspek keselamatan tidak dikecualikan malah sentiasa menjadi keutamaan. Justeru, khidmat syarikat perunding keselamatan telah digunakan sepanjang pementasan bagi menggelakkan perkara tidak diingini daripada berlaku. Mereka dipakaikan tali keselamatan 'harness' dan topi keselamatan yang akan digunakan ketika memanjat pokok dan semasa melakonkan pelbagai aksi, gerakan di ruang udara. "Dahan-dahan pokok ini telah diperiksa dahulu oleh pekerja syarikat perunding keselamatan untuk mengetahui bahagian mana yang sesuai untuk digunakan sepanjang pementasan. "Yang penting, ia mesti kuat dan dahan itu tidak reput. Selain itu, aspek pencahayaan, teknikal dan audio agak mencabar," kata anak kelahiran Kedah ini. DIIKTIRAF Menariknya, teater ini telah menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records sebagai 'First Theater Performance On A Tree Top' dan sijil itu disampaikan pada hari pertama pementasan. Teater ini adalah anjuran Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dan kerajaan negeri Selangor. Selain Bohari, pelakon yang terlibat ialah Nadhilah Suhaimi (pemenang Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2014), Lim Paik Yin, Fairul Pujangga, Bhumin Dhanapetkisarn (Undangan dari Bangkok), Nizam Yamin (Pelakon Lelaki Terbaik Festival Teater Makum 2011); Siti Surya Suryani dan penampilan istimewa Yassin Salleh (pengarah terbaik Festival Filem Malaysia ke-2 (1981). BERNAMA


bottom of page