top of page

Kes Rasuah Teksi Sapu: Enam Kakitangan Penguat Kuasa Direman

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Enam kakitangan penguat kuasa pada Rabu ditahan reman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan pemandu teksi dan kereta sapu yang disyaki mengambil penumpang tanpa kebenaran di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan berkata perintah reman itu dikeluarkan Majistret Khairul Nizam Abu Bakar di Mahkamah Majistret Shah Alam terhadap lima pembantu penguat kuasa Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan seorang anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Keenam-enam penjawat awam itu ditahan reman bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima suapan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. Di mahkamah sama, tiga pemandu teksi turut direman, masing-masing enam hari bermula hari ini, kerana disyaki menawar dan memberi rasuah kepada anggota penguat kuasa dan mereka disiasat mengikut Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009. Menurut kenyataan itu lagi, SPRM menjalankan siasatan selepas menerima maklumat daripada pemandu-pemandu teksi sah yang tertekan dengan kehadiran teksi sapu yang tidak mempunyai permit mengambil penumpang di kawasan berkenaan. Siasatan awal mendapati lima hingga enam pengusaha teksi disyaki telah membuat bayaran mingguan kepada pegawai penguat kuasa sekitar RM600 hingga RM720. Kesemua suspek yang ditahan semalam, berusia dalam lingkungan 20-an hingga 60-an, dibawa ke mahkamah pada pukul 9 pagi ini. Sementara itu, SPAD dalam kenyataan, berkata suruhanjaya itu akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM dalam siasatan tersebut. "Kami memandang serius perkara ini kerana ia melibatkan integriti suruhanjaya dalam melaksanakan tugas untuk berkhidmat kepada rakyat dan industri pengangkutan darat awam. "Kami sentiasa mengekalkan dasar toleransi sifar terhadap sogokan dan rasuah dan sekiranya didapati bersalah, SPAD akan mengambil tindakan tegas terhadap petugas termasuk membuang kerja," katanya. SPAD berkata orang awam dan pihak ketiga boleh membuat laporan berhubung perkara dan isu berkaitan integriti petugas dengan menghubungi talian 1-800-88-7723 atau menghantar e-mel kepada alamat di integrity@spad.gov.my. -- BERNAMA

>> Senarai Berita


bottom of page