top of page

Teck Zhi Mara Ke Pusingan Ketiga Terbuka NZ

KUALA LUMPUR, 23 Mac (Bernama) -- Juara remaja Asia 2013, Soo Teck Zhi yang masih mencari peluang mencipta nama di peringkat senior, mara ke pusingan ketiga Kejohanan Grand Prix Emas Terbuka New Zealand di Auckland hari ini. Teck Zhi, 20, melepasi halangan pusingan keduanya selepas menundukkan pemain Australia, Pit Seng Low 21-8, 21-6 untuk menempah pertemuan dengan Hsu Jen Hao dari Taiwan. Hsu, yang juga pilihan keempat, mara ke pusingan ketiga selepas mengetepikan cabaran Wibowo Kho Henrikho dari Indonesia 19-21, 21-16, 21-19. Sementara itu, dalam acara beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying menjinakkan Ko Chi Chang-Hsin Tien Chang dari Taiwan 22-20, 21-15 untuk menempah tiket ke pusingan kedua esok. Peng Soon-Liu Ying dijangka menentang pemenang perlawanan antara wakil tuan rumah, Oliver Leydon Davis-Susannah Leydon Davis dan Matthew Chau-Gronya Somerville dari Australia di pusingan seterusnya. -- BERNAMA


bottom of page