top of page

Rancangan Mewujudkan Hab Perkampungan Seni Jalanan

KUALA LUMPUR, 23 Mac -- Malaysian Buskers Club (MYBC) merancang untuk membangunkan hab perkampungan seni jalanan untuk memartabatkan industri buskers. Presidennya Wady Hamdan berkata hab itu akan membolehkan penggiat seni jalanan mengadakan aktiviti yang lebih teratur, intensif dan menyeluruh. Katanya hab itu dirancang untuk menempatkan kolej penghibur jalanan, rumah inap, galeri dan menjadi tempat rasmi mereka untuk mengadakan persembahan selain menjadi tarikan pelancong. "Hab itu juga akan membantu buskers memantapkan lagi persembahan mereka," katanya. Wady merancang untuk mengusulkan kepada kerajaan bagi melaksanakan sistem perlesenan penghibur jalanan yang difikirkan lebih baik daripada sistem permit sekarang. Wady mencadangkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuat peraturan yang lebih jelas tentang kebenaran aktiviti busking di kawasan awam. "PBT perlu gazetkan kawasan mana yang boleh busking, dan apa terma dan syaratnya. Sistem permit kurang fleksibel. Busking bukannya jual barang sebaliknya aktiviti ekspresi bakat," katanya. Sejak mula beroperasi Disember 2012, kata Wady, MYBC telah cuba membantu penghibur jalanan membuat persembahan yang lebih kemas. Beliau berkata MYBC bukan sahaja menolong penghibur jalanan mendapatkan tempat aktiviti malah turut membantu mereka menguruskan kewangan melalui khidmat nasihat dan latihan. "Kami juga beri kesedaran supaya mereka lebih bijak mengatur kewangan seperti simpanan masa hadapan dan mengambil perlindungan insurans," katanya. Beliau bersyukur kerana, katanya, usaha memartabatkan industri penghibur jalanan itu mendapat sokongan kerajaan dan agensi-agensi tempatan. MYBC adalah sebuah pertubuhan berdaftar yang mempunyai kira-kira 11,000 ahli seluruh negara. -- BERNAMA


bottom of page