top of page

Halang Mat Sabu masuk Sarawak bukti Adenan takut Pakatan Harapan?

KUALA LUMPUR 22 MAC: Sekatan Presiden Amanah, Mohamad Sabu memasuki Sarawak membuktikan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satim begitu takut dengan Pakatan Harapan menjelang pilihan raya negeri itu yang dijangka diadakan April depan.

Mohamad Sabu atau dikenali Mat Sabu bersama pegawai khasnya, ditahan pegawai Imigresen di Lapangan Terbang Sibu sekitar 10.30 pagi tadi tanpa diberikan sebarang alasan.

Beliau yang dijadual mengadakan lawatan kerja dua hari sempena PRN, diarah pulang meninggalkan Sarawak dan kini dalam perjalanan balik ke Semenanjung.

Bagaimanapun, menurut Mat Sabu, larangan tersebut dikeluarkan atas arahan Pejabat Ketua Menteri Sarawak.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, halangan ke atas pimpinan Pakatan Harapan untuk bertemu rakyat Sarawak merupakan tindakan terdesak dan amat dikesali.

“Saudara Mohamad Sabu merupakan salah seorang dari sejumlah pimpinan politik dan masyarakat sivil yang kini tidak boleh lagi menjejak kaki ke Bumi Kenyalang.

“Tindakan ini menjadi bukti bahawa BN di bawah pimpinan Adenan Satem cukup takut pada musuh politik seperti Pakatan Harapan sehingga kehadiran pimpinan seperti Zuraida Kamaruddin, Nurul Izzah Anwar, Tony Pua, Teresa Kok, Mazlan Aliman dianggap satu ancaman politik.

“Di dalam demokrasi yang maju dan progresif, musuh politik perlu diserang melalui idea dan perbahasan, bukan dengan halangan pentadbiran seperti berlaku sekarang,” kata Fahmi dalam kenyataan.

Tegasnya, pentadbiran Adenan perlu menamatkan dasar menghalang warga Malaysia yang berlainan ideolagi politik dari memasuki Sarawak, demi demokrasi lebih matang dan Malaysia lebih baik.

Sementara itu, Amanah menegaskan, sekatan ini menunjukkan satu lagi pelanggaran ke atas hak dan kebebasan Mat Sabu berstatus warganegara Malaysia, seraya mendesak halangan tersebut ditarik balik serta merta.

“Parti Amanah kesal atas pernahanan Mat Sabu. Kami juga meminta supaya Ketua Menteri Sarawak menarik balik arahan tersebut,” kata Naib Pengerusi Amanah, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, pada sidang media di Parlimen.

Pemimpin pembangkang lain yang turut dihalang memasuki Sarawak atas pelbagai alasan sebelum ini adalah Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua dan Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa. - Keadilan Daily


bottom of page