Rancangan Clever Girl terus dipersenda selepas komen "IQ tinggi" penerbit
- Jon
- Mar 22, 2016
- 1 min read
KUALA LUMPUR, 22 Mac — Pengguna media sosial terus mengecam rancangan Clever Girl yang disifatkan sebagai sebuah program yang tiada pengisian dan hanya mengeksploitasi wajah cantik peserta.
Komen yang diberi pihak penerbit bahawa peserta rancangan tersebut mempunyai "IQ tinggi" terus dipersendakan ramai pengguna media sosial.
Antaranya pengguna twitter @1obefiend berkicau begini:
"IQ tinggi lepas tu kau tanya dia nama pelakon CICAKMAN. Apa lanjut? (lancau) Tanya la benda yang ilmiah. Bangang Abadi"
Link sumber tweet: https://twitter.com/1Obefiend/status/712198063566168064
Menurut penerbit rancangan Shazreena Kassim, sesetengah peserta rancangan itu berasa gemuruh berdepan dengan cabaran sehingga tampak seperti kurang bijak menjawab soalan yang diajukan.
“Sebagai penerbit yang mengendalikan program baharu, segala kritikan diterima dengan hati yang terbuka. Cuma janganlah mengecam peserta secara berlebih-lebihan,” kata Shazreena dalam laporan portal BH Online.
“Mereka sangat bijak sebenarnya, cuma kerana gugup, jawapan betul yang patut diberikan menjadi salah pula.
“Mengatasi sifat gemuruh juga antara ujian buat mereka kerana ia mampu memberikan fokus yang penuh dalam melunaskan tugasan diberi,” tambahnya.
“Clever Girl” menampilkan 14 wanita mewakili 14 negeri berlainan untuk menjadi peserta paling pintar dan merebut hadiah RM100,000.
Antara kritikan pengguna media sosial termasuklah kepada peserta Wan Zarith Sofea yang mewakili Johor, apabila tidak dapat membezakan antara tokoh kemanusiaan Katolik Mother Teresa dan pemimpin India Mahatma Gandhi.
Peserta dari Selangor, Arina Mohd Fairin pula dikritik kerana gagal menjawab soalan mudah tentang bilangan warna dalam bendera Malaysia.
Namun tinjauan wartawan Cukong Media, pengguna twitter lebih banyak mengecam dan mempersendakan soalan-soalan remeh, tidak mencabar dan kadang-kadang agak dangkal yang diajukan berbanding kritikan terhadap peserta.
Walaupun menerima pelbagai kritikan negatif dan menjadi bahan lawak, Shazreen bagaimanapun merasa "sedikit bangga" kerana program Clever Girl trending di Twitter.

Comentários